Monday, February 12, 2018

Teater Normcore: Sebuah Percubaan...?



Teater Normcore hadir dengan dua naskah baru: Tiada Cinta Selama Muda dan Matinya Seorang Birokrat. Tidak saya pungkiri bahawa kedua-dua naskhah yang di pentaskan di RAW Art Space, 8.30mlm tadi agak baik. Gaya tulisan yang sangat analatikal, pendekatan gaya bahasa yang direct, tepat dan witty. Jarang kita dihidangkn dengan naskah-naskah yang punya cerita dan penyampaian yang begitu sebati/realistik di era ini. Mungkin ini adalah forte Ridhwan Saidi memandangkan beliau seorang penulis, tetapi tidak sebagai seorang pengarah pada pandangan saya.

Pengarah adalah pemimpin para pemimpi. Pemimpi di sini adalah pelakon itu sendiri. Dalam kedua naskhah ini, pemain tidak mampu menggapai mimpi-mimpi Ridhwan di dalam tulisannya. Masalah terbesar dalam pementasan ini adalah susun atur (blocking), eksplorasi ruang dan arahan pentas (pengarahan). Stanislavski pernah bilang, tidak ada apa pun, atau seorang pun yang boleh mencipta seorang pengarah, kerana pengarah itu “dilahirkan”. Saya di fahamkan ini merupakan pengarahan pertama beliau dalam mengarah/mementaskan teater dan beliau mengarahkan naskhah tulisan sendiri. Ianya sebuah permulaan yang harus! Kerana ianya sebuah percubaan yang...?

Sebenarnya mudah bila seseorang pengarah mementaskan naskhah sendiri kerana beliau dapat membaca pemikiran penulis, dalam kes ini diri beliau sendiri. Tidak keterlaluan saya katakan Ridhwan Saidi adalah seorang pengarah yang “dihasilkan”. Pengarah yang dihasilkan di sini adalah mereka yang sekadar memiliki bakat menulis, dan menampilkan dirinya sebagai pengarah kolektif, umum dan membawa pemikiran sendiri dan dipilih komiti menurut Stanislavski. Pengarah yang dihasilkan tidak mampu mencipta sejumlah pemain (pelakon) dan sekaligus menyatukan naskhah dan pementasan mengikut pemikiran si pengarah. Yang dilakukan hanyalah mengadakan sebuah pertunjukan. Itu sahaja. Sama seperti Rohaya Atan, naskhah-naskhah penulisan beliau seperti Pelayaran Nur Athma merupakan naskhah yang membawa halwa feminis yang baik. Tetapi ketika beliau mementaskan naskhah tulisannya, hilang dan kabur semua pemikiran naskhah itu. Mungkin sebab itu beliau fokus kepada kerja-kerja penerbitan teater. 

Hal ini terlalu berbeza dengan terma pengarah yang ‘’dilahirkan”. Contoh yang mudah adalah Grotowski dengan teater miskinnya, Boal dengan teater tertindasnya atau Antonin Artaud dengan teater kejamnya. Ini tidak perlu di bahas lagi. Jelas dan nyata. Di Malaysia, kita melihat bagaimana Nam Ron dilahirkan dalam gelombang teater eksperimen melalui karya Tanda dan Arifwaran dengan teater fizikal Meta-M. Kita melihat bagaimana dua pengarah ini tidak sekadar mementaskan naskhah, tetapi mencipta sejumlah pemain (pelakon) dan dengan sendirinya naskhah dan pementasan akan mengikutnya. Bagi saya, tiada apa yg ditawarkan dalam pementasan ini selain naskhah yang baru dan agak bermutu. 

Untuk karya pertama, saya merasakan seperti berada diruang ‘reading play’. Sekadar membaca dialog. Pada awalnya kelihatan seperti aktor memegang konsep stillness dalam lakonan. Tetapi tidak konsisten. Mungkin beliau memegang konsep minimalis, tetapi kehilangan kesan teaterikal. Tidak banyak yang boleh dibincangkan dalam pementasan pertama.

Untuk karya kedua, saya lebih memandang kepada imej. Berbicara tentang imej, imej yang dipilih Ridwan tidak memberi peluang kepada penonton untuk berfikir apabila semua aksi divisualkan. Pemilihan imej tidak boleh lari dari kewujudan semeotik dan semantik. Untuk lebih mendalam, aksi/imej ini saya cuba membaca kehadiran semantik. Kewujudan fungsi semantik hadir, tetapi tidak berkesan sepenuhnya dalam pertunjukan ini. Semantik adalah kaitan dari satu 'tanda' dengan ‘memaknakan’ sesuatu ‘tindakan’. 

Contoh dalam pementasan ini adalah bilamana wujudnya ‘bunga’ (imej) tetapi tidak memberikan ‘makna’. Bila pelakon mengalihkan bunga itu ke tepi pentas, ianya tidak memberikan makna pada sesuatu ‘tindakan.’ Alangkah baiknya jika imej itu dipaparkan seperti: pelakon membawa bunga ke tepi mayat tadi dan keluar pentas tanpa melakon kan aksi dibunuh. Untuk babak pembunuhan, jika sekadar suara halus yang terkeluar dari belakang tirai lebih meninggalkan kesan dari pancutan warna merah ke tirai. Bagi saya imej atau aksi ini lebih berkesan. Saya sudah boleh mengagak pelakon yang itu akan mati dari awal cerita lagi memandangkan kostum recycle putihnya sudah ada kesan darah dari awal cerita. Inilah yang dikatakan kekuatan imej yang membawa kesan dan memberi penonton berfikir. Memandangkan pertunjukan ini begitu minimalis, saya kira kaedah sebegitu lebih sesuai. Imej tidak sekadar dipotraykan sahaja di atas pentas tetapi harus memaknai sesuatu tindakan. Aksi pelakon di tampar juga boleh dikira sebagai imej. Imej yang meninggalkan kesan pada memori (memory images). Imej bukan sekadar prop dan pencahayaan sahaja. 

Sebenarnya, corak permainan double bill ini bukanlah sesuatu yang baru. Isu yang diangkat pun biasa. Tahun 2010-2013 konsep sebegini setiap minggu dipentaskan di Stor Teater DBP. Kita melihat bagaimana kelompok teater di Kuala Lumpur tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Kirin Mohamad dan Amar Asyraf adalah orang yang begitu tegar mementaskan isu-isu dan corak permainan seperti malam ini. Jika bercakap tentang sistem feudalisme. Fasyali Fadzly pernah hadir dengan karya Juta-Juta di Stor DBP. Mungkin ianya baru bagi mereka yang baru berjinak meminati dunia teater, tetapi saya menjangkakan lebih dari itu kerana nama Ridhwan ini begitu kuat limelight lewat media eletronik dan media sosial ketika saya berada di Jakarta tahun lalu. Baru hari ini saya sempat menonton karya beliau. Ternyata saya yang normcore (peka terhadap benda yang biasa). 

Seterusnya, lakonan malam ini tidak meyakinkan. Harus diingat, 80% kejayaan seorang pengarah terjamin sekiranya pemilihan aktor yang tepat. Mungkin saya yang terlepas pandang, tetapi barisan para pelakon dalam teater arahan beliau terlalu diatur. Tidak memegang kepada rasa. Lakonan yang sangat rigid. Terikat. Sebab itu saya menanyakan soalan, sejauh mana beliau mengawal pelakon dalam konteks sebagai seorang pengarah? Ini kerana ada diantara pelakon beliau saya pernah tonton permainan mereka dan agak memuaskan. Tetapi tidak dalam karya ini.

Ketika menonton, saya terfikir tentang Brecht. Epic theatre. Tentang bagaimana lakonan itu tidak perlu ada “the 4 walls”. Beliau suka terhadap the chinese opera. Bagaimana pelakon lepak di tepi panggung dan bila giliran pelakon bangun dan masuk ruangan lakon. Transisi dari duduk minum teh dan merokok di tepi panggung dan masuk ke ruangan lakon. Mungkin ini yang ingin di sampikan oleh Ridhwan bila memilih tirai yang transparent. Ini ada dalam bentuk persembahan beliau. Membenarkan pelakon dilihat walau berada diluar ruang lakon. Mungkin Ridhwan boleh mengaplikasi teknik sebegitu terhadap pelakonnya dari meminta pelakonnya ‘berlakon’. 

Pelakon ini boleh dikatakan seperti sepotong tanah liat, sepatutnya harus merasa dan mengikut tekanan jari pengarahnya ketika mengukir sebiji labu sayung. Bagi pengarah pula, tidak semua tanah liat sesuai untuk di buat labu sayung. Kira-kira begitulah analoginya. Ini bukanlah sebuah pementasan penilaian pelajar. Ianya sudah melangkah ke alam profesional. Saya kira Ridhwan selaku pengarah perlu memikirkan juga tentang pemilihan barisan pelakon sekiranya ingin mementaskan lagi teater. Dan saya masih ingin membaca naskah tulisan beliau kerana senang dengan penyampaian yang begini. 

Konklusinya, saya memutuskan untuk kembali kepada poster, iaitu teater ‘normcore’. Mungkin Ridhwan melanggar semua terma yang saya sebutkan diatas, mengakibatkan pementasan ini anti-genre. Jika ini benar, beliau telah berjaya mementaskan teater yang anti-genre. Usaha berterusan Ridhwan ini harus dipandang serius dan dipuji. Beliau secara konsisten menyemarakan lagi pementasan di Kuala Lumpur khususnya dan Malaysia am-nya melalui Teater Modular 1&2 dan Teater Normcore. Kita memerlukan penggiat-penggiat seperti ini untuk terus meraikan industri teater di Malaysia. 


Tahniah kepada seluruh ahli produksi.


Naque Ariffin,
Restoran Pelita Bangsar (2.30 am),
12 Februari 2018.