Wednesday, June 7, 2017

Review: Setan Jawa- Filem Bisu Yang Menjerit

Sumber foto: https://twitter.com/setanjawamovie

Sinopsis.

Ceritanya mudah, iaitu tentang cinta antara dua darjat. Antara rakyat jelata dengan golongan atasan/bangsawan atau lebih mudahnya antara yang miskin dan yang kaya. Cinta pandang pertama yang berlaku di pasar membuatkan Setio jatuh cinta terhadap Asih, seorang puteri golongan bangsawan. 

Hasrat Setio memperisterikan Asih dibalas dengan tindakan menikam tangan Setio menggunakan sanggul kepala Asih yang tercicir di pasar oleh ibu Asih. Kecewa, marah dan dendam menembusi jiwa Setio. Tindakan Ibu Asih itu akhirnya membawa Setio ke jalan gelap dengan menggunakan ilmu ghaib, ilmu ‘Kandang Bubrah’ (kepercayaan orang Jawa) dengan alasan untuk menjadi kaya dan menjadi orang yang dihormati. Hal ini adalah dengan cara persetujuan dan perjanjian dengan syaitan, syaratnya :- jika dia meninggal dunia Setio akan menjadi tiang rumah. Setio akhirnya setuju dan berjaya menikahi Asih kerana sudah kaya dan dihormati.

Selama menjalani bahtera perkahwinan, pasti ada satu titik rahsia lama ditemukan. Akhirnya Asih tahu jika suaminya, Setio, menggunakan ilmu ‘Kandang Bubrah’ agar dapat berkahwin dengan dirinya. Kerna tidak mahu suaminya tersiksa menjadi tiang rumah, dan kerana cintanya terhadap suaminya, beliau juga telah membuat perjanjian dengan syaitan. Syaitan bersetuju, tetapi dengan syarat bahawa Asih perlu disetubuhi oleh syaitan.



Tayangan filem Setan Jawa di Yokyakarta, 21 Mei2017


Mungkin isu ini bunyi dan kelihatan lapuk bagi sesetengah orang, tambahan pula mengangkat latar kehidupan saat penjajahan Belanda sekitar tahun 1920-an. Kepercayaan terhadap alam mistik telalu tebal dalam kehidupan orang Jawa pada saat itu bahkan sehingga hari ini. Tetapi isu ini sangat sesuai dipaparkan, tambahan pula sentuhan Garin Nugroho untuk filem bisu dan hitam putih ini sangat menakjubkan. 

Saya kira, takaran filem Setan Jawa telah membuatkan pandangan saya yang sebelum ini tengtang "apa yang perlu ada dalam penceritaan sesebuah filem Malaysia" adalah tepat sama sekali. Boleh baca di sini:
(http://naque-ariffin.blogspot.co.id/2017/04/assalammualaikum-filem-kita-sudah.html

Dalam memberi apresiasi terhadap karya ini, saya akan menggunakan pendekatan atau kaedah kritikan berdasarkan sejarah dalam menilai, memahami dan bagaimana pengkarya itu sendiri menghargai seni yang dihasilkan. Dengan cara ini kita dapat melihat kesan filem ini terhadap masyarakat dan pengaruh sejarah terhadap filem. Seterusnya kejelasan ikonografi dalam menjelaskan manifestasi peradapan sesebuah bangsa. Dan terakhir bagaimana Garin Nugroho mendapatkan sumber inspirasi dan budaya kerja berdasarkan sejarah.

Aroma nusantara begitu kuat dalam filem ini. Garin yang saya kenal melalui karya-karya beliau sebelum ini tidak pernah tergelincir dari budaya dan jati diri seorang Jawa. Filem-filem karya beliau:- Opera Jawa, Soegija, Nyai, Guru Bangsa Tjokroaminto dan lain-lain telah menceritakan kebanggan beliau menjadi anak Jawa dengan cara menampilkan estetika budaya setempat di dalam filem. Jawapannya hanya satu. SEJARAH! Saya akan menghuraikan dengan lebih lanjut tentang gagasan ini dengan terpeinci. Teruskan membaca!

Setan Jawa merupakan filem bisu yang diiringi muzik gamelan secara lansung (live), dengan visual hitam putih selama 73 minit. Kelihatan sangat minimal bukan? Tetapi apa yang membuatkan filem ini begitu elegan dan mewah dimata saya adalah kekayaan budaya yang ada di dalam filem ini. Filem ini banyak memainkan simbol-simbol Jawa yang membuat filem ini berada di kelasnya tersendiri. Walaupun plot penceritaan ini biasa dan mudah diteka (seperti yang saya terangkan diatas) , tetapi kelemahan itu ditutup dengan iringan muzik gamelan yang ditampilkan didepan layar, gabungan hasil sinematografi yang cantik untuk ditatap dan keasyikan tarian dan lakonan. Walaupun ini sebuah filem bisu, saya seakan mendengar jeritan batin yang membingit keluar dari ekspresi wajah Asik, lakonan mantap Asmara Abigail. Tanpa kata-kata, cukup dengan iringan gamelan yang begitu dramatik, kita akan mendengar jeritan seorang perempuan yang dihukum oleh takdir dari sebuah filem bisu ini. Kudos!

Seorang Garin Nugroho telah membuatkan Setan Jawa berada pada kelas well-made-play. Saya tahu ini merupakan istilah yang keluar dari tokoh teater moden, Henric Ibsen. Tetapi bagaimana ianya terkait dalam filem ini? Dan saya kira ini merupakan ramuan yang berhasil bilamana Julie Taymor menggunakan kaedah ini dalam penghasilan filem-filem karya beliau. 


Garin Dan Unsur Sejarah Dalam Filem Setan Jawa.


Menonton Setan Jawa seperti merasai sensasi menonton wayang kulit. Tidak hairan kerana wayang kulit adalah bahagian dari sejarah estetika sejarah filem. Dan sudah tentu cerita-cerita didalam pertunjukan wayang kulit tidak kira dari Hikayat Ramayana dan Mahabrata, Raden Inu Kertapati atau Putra Raja Kahuripan, semua penceritaanya berakhir dengan well-made-play (plot yang komplek yang menimbulkan peripety dan recognition, klimaks dan semua masalah diatasi) dan terhasilah poitic justice (Baik dibalas baik dan jahat dibalas jahat). Bila adegan dramatic, Dalang akan menggerakkan patung wayang dekat dengan kelir (Close-up dalam istilah filem) dan berada jauh dari kelir (wide shot) bilamana adegan santai. Seterusnya dengan iringan muzik secara lansung oleh pemuzik wayang kulit di belakang kelir. Inilah rujukan buat Garing barangkali dalam menghasilkan suasana baru dalam arena perfileman. Menggabungkan sejarah dan beradaptasi dengan cara lain.

Mari belajar sejarah lagi. Mengapa Garin mengangkat cerita ini di era 1920-an? Beliau terinspirasi dengan filem bisu hitam putih klasik berjudul Nosferatu (1922) dan Metropolis (1927), yang juga diiringi langsung oleh musik orkestra. Justeru apa kaitannya dengan Jawa? Jawapannya adalah 1920 ketika industri perfileman bangun di Negara luar, penjajah masih bermaharajalela di tanah Jawa. Pada waktu itu terjadi kolonialisasi di Indonesia maka lahirnya tahap kemiskinan yang sangat parah di tanah Jawa. Adegan ini dipaparkan pada minit-minit awal filem ini. Penjajah mengikat kaki warga setempat dengan besi dan batu dan dipaksa bekerja dan amalan mistik mula diamalkan kembali dengan kepercayaan mereka akan menjadi kaya. Garin berjaya menggabungkan dua sejarah sekaligus di dalam satu filem iaitu sejarah perfileman dan sejarah rakyat Jawa di era 20-an. 

Sebenarnya, jika kita melihat filem ini dari aspek yang meluas, ianya seakan memapar realiti masyarakat sekarang juga. Tidak hanya cinta, terkadang politik juga akan menghambat kita ke jalan yang dipaparkan ini samaada dalam sedar atau tidak. Sedikit informasi, filem ini hanya ditayangkan di beberapa Negara sahaja: Indonesia (September 2016, Yokjakarta Mei 2017), Melbourne (Februari 2017), Amsterdam , Singapura dan London. Mungkin yang berada di Malaysia boleh ke Singapura pada 21 Jun 2017 untuk menonton filem Setan Jawa.

Naque Ariffin,
Jakarta Pusat,
7 Jun 2017.

No comments:

Post a Comment