Monday, March 13, 2017

Review: Teater Mati Berdiri- Paparan Realiti Dalam Bentuk Imaginasi.



Selaku pengamat dan pembikin seni, saya akui, pertunjukan/persembahan pantomime bukanlah sesuatu yang moden dan diterima dengan baik oleh penonton walaupun telah wujud sejak 5 abad yang lalu. Di Amerika Syarikat, pantomim gagal menarik ramai penonton walaupun terdapat banyak seniman-seniman yang memperjuangkan seni persembahan pantomime ini, ianya tetap gagal menarik penonton. Bahkan, Nick Thomas: pemilik dan pengasas syarikat penerbitan pantomime terbesar didunia juga mengeluh terhadap penerimaan penonton di Negara seberang laut. Begitu juga di Kanada, Malaysia, Hawaii, China dan Perancis. Di Britain, bagaimanapun, persembahan pantomim masih memainkan peranan penting sejak zaman Victoria dan ia merupakan sebuah acara tahunan yang besar.

Apa yang menariknya disini, kumpulan atau kelompok Sena Didi Mime ini telah merombak semula prinsip-prinsip yang ada dalam Pantomim. Mungkin sikap atau pendekat ini boleh kita namakan sebagai “moden’’- mencuba dan memperbaharui. Ramai penonton teater alaf ini sangat suka akan karya baru dengan persembahan cara baru, sekaligus menjadikan teater zaman ini selalu berubah dan dinamis. 

'Mati Berdiri' berangkat dari salah satu realiti Indonesia hari ini. Pertunjukan ini mengangkat masalah informasi yang menjebak antara benar atau salah, fakta atau bukan fakta dan cara menyingkapinya. Hal ini amat jelas dan ketara melalui tindakan dan aksi-aksinya. Memandangkan ini merupakan teater tubuh (fizikal) segala aksi yang dilakukan membawa makna yang tersirat. Teater ini telah dipentaskan di Teater Salihara, Jakarta Selatan pada 11 March 2017 yang lalu.

Usaha memecahkan "fourth wall" yang diperkenalkan oleh Denis Diderot dalam pertunjukan ini sangat memberi impak dan berjaya menurut saya. Terma 'import pentas' dalam perkembangan teater kontemporari telah berjaya dihadam oleh kumpulan yang ditubuhkan oleh Sena A. Utoyo dan Didi Petet ini. 

Saya begitu tertarik dengan adegan baling bantal untuk memasuki dalam sebuah kotak. Terdapat lima orang yang gagal memasukan bantal ke dalam kotak, tetapi orang terakhir berjaya memasukan bantal ke dalam kotak walaupun matanya ditutup. Sangat kemas adegan ini walaupun bantal itu masuk ke dalam kotak atas ‘bantuan’ rakan yang lain. Harus di ingat untuk memecahkan tembok ke-4 ini bukan perkara yang sewenang-wenangya dilakukan tanpa alasan. Selepas bantal tersebut berjaya dimasukan kedalam kotak, lampu penonton di pasang. Para pemain terus memberikan ‘hadiah’ yang berupa bantal kepada penonton dan beberapa keping pizza. 

Kewujudan fungsi semantik telah terkesan dalam pertunjukan ini. Semantik adalah kaitan dari satu 'tanda' dengan ‘memaknakan’ sesuatu ‘tindakan’. Saya terangkan dengan lebih di bawah:


TANDA :
Melemparkan bantal ke dalam kotak dan siapa masuk diberi kuasa.


MENANDAKAN : 
Hal ini merujuk kepada adegan pilihanraya atau pemilu dalam bahasa Indonesianya. 


TINDAKAN : 
Dan pemimpin yang menang terus memberi habuan kepada penonton yang bersorak disebabkan bantal itu masuk ke dalam kotak. Seolah-olah kita setuju dengan perbuatan itu, walaupun beliau menang dengan cara yang jijik dan kotor. Inilah kehadiran semantic dalam pertunjukan ini.


Persembahan ini sebenarnya tidaklah terbatas kepada falsafah eksistensialisme semata yang telah dipamirkan oleh ‘anjing’ yang telah menang dalam acara pemilu itu tadi. Manusia atau pemain dalam cerita ini digambarkan seperti seekor anjing (berdasarkan gerak, posture dan jidah yang dijulurkan seperti anjing) yang putus asa dan mencari-cari, tetapi mereka tidak putus harapan seratus peratus. Ini tidak dapat dielakan kerana manusia Indonesia tidaklah seratus peratus pesimistik. Walaupun dalam pertunjukan ini mereka mencari sesuatu- samaada kebahagiaan, kekayaan atau mencari diri mereka sendiri, mereka tidak putus asa terus menerus sehingga mereka jumpa tuannya. Pertunjukan ini sebenarnya dimulakan dengan adegan prolog dimana seorang wanita sedang sarat mengeluarkan sesuatu dari perutnya dalam keadaan berdiri dan akhirnya wanita itu juga turut mati berdiri selepas tamat pertunjukan.

Menurut sinopsis yang telah diberikan, cerita ini boleh dikatakan fakta atau bukan fakta. Makanya, pertunjukan ini membuka peluang kepada penonton untuk menanggapi dan menyingkapinya.Yayu A.W. Unru telah berjaya merangkai adegan-adegan serta situasi komedi yang sangat minima tetapi telah menimbulkan kesan katarsis di akhir petunjukan. Beliau dalam tidak sedar telah memberi paparan realiti dalam bentuk imaginasi, dan memupuk atau melatih penonton supaya berfikir tanpa perlu disuap secara bulat-bulat dibalik gelak tawa. Tahniah buat seluruh ahli produksi.


'Only one rule seems to prevail these days. Namely, that theatre has no hard and fast rules." 

- Krishen Jit, April 1979. 


Naque Ariffin,
Jakarta Pusat,
Indonesia.
(13 Maret 2017)

No comments:

Post a Comment