Tuesday, February 21, 2017

REVIEW 15: NORMA ABBAS- KEMBARA MENUJU JANJI



'Kembara menuju janji merupakan sebuah pameran lukisan hasil kerja seni Norma Abbas. Pameran ini memberi tumpuan kepada ikatan perhubungan: yang berwarna-warni dengan keluarga, teman rapat, alam semula jadi dan juga perjalanan rohani seorang wanita yang cukup harmoni dan humoris ini.


Menghayati setiap lukisan yang dihasilkan oleh seniman wanita ini, jelas halwa feminis sangat kuat dalam setiap hasil karya beliau. Kesempurnaan sosok wanita (dari segi fizikal) dalam setiap lukisan beliau sangat jelas berbanding lelaki. Terdapat satu lukisan yang memaparkan 3 tokoh wanita yang sedang duduk sambil diperhatikan oleh seorang lelaki. Tetapi tokoh lelaki itu tidak punya mata berbanding 3 tokoh wanita yang kelihatan "sempurna" pada bahagian muka, seperti gambar (1) dibawah.

Mungkin beliau terpengaruh dengan hubungan teori ''male gaze" ataupun bahasa mudahnya persoalan tatapan iaitu teori yg diasaskn oleh Laura Mulvey: bagaimana seharusnya lelaki memandang seorang wanita. Mungkin juga beliau khatam apa yang Freud sebut sebagai 'scopophilia'  iaitu menggunakan orang lain sebagai objek rangsangan seksual melalui pandangan mata. Abad ini, terlalu ramai yang mengaitkan diri mereka yang kononnya pejuang feminis, 'woman power' dan lain-lain terma yang kononnya merekalah pejuang wanita tetapi bila berhadapan dengan karya mereka, yang dipaparkan adalah lekuk tubuh wanita yang seksi, gambar kemaluan wanita, buah dada dan segala simbol yang kononnya wanita yang sebenarnya  telah menjatuhkan 'rasa' wanita itu sendiri. Seorang pejuang feminis tidak mahu dilihat dan tidak seharusnya dipandang sebegitu. Ini tidak terhad kepada seni lukis/rupa semata. Ia menyeluruh kepada semua cabang seni: teater, filem, penulisan dan lain-lain. Tetapi tidak bagi Norma Abbas, beliau memandang wanita dari sudut bagaimana sepatutnya wanita dipandang. Inilah semangat perjuangan seorang feminis.

Seterusnya, dalam satu karya beliau, "The Love Story of Rama and Sita'' (gambar 2), hanya memaparkan sosok Sita sahaja sedangkan ini merupakan kisah cinta agung dua tokoh dalam hikayat itu. Mana mungkin seorang Sita berdiri tegap tanpa Rama, tetapi dalam karya wanita yang membesar dengan berus di mulut dan cat ditangan ini, segalanya mungkin. Inilah unik dan setianya Norma Abbas, di era kesenian yang semakin urban ini, beliau masih setia dengan permainan berus dengan gaya dan teknik lukisan yang jelas setanding artis kontemporari yang mencipta nama pada era 80-an.





      Gambar (1)                             Gambar (2)
                       
  
Saya amat tertarik dengan pameran yang begitu konseptual ini. Tajuk pameran ini punyai sistem tanda dan penanda atau apa yang disebut semiotic. 'Kembara Pelangi Menuju Janji'. Norma Abbas menggambarkan perjalanan/kembara seharian beliau dalam lukisan menggunakan warna-warna yang sangat lembut/terang yang berlapis lapis. Mungkin inilah yang disebut 'Pelangi'. Dan beliau juga tidak ketinggalan mengucapkan syukur menerusi karya beliau dengan melahirkan karya 99 Nama-Nama Allah yang dipamerkan di ruang terakhir paling hujung selepas anda melewati semua lukisan.

"setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati'' - Surah Ali Imran: Ayat 185.

Sudah tentu JANJI Allah s.w.t itu pasti. Inilah yang disebut 'Menuju Janji' pada tajuk pameran ini. Maka, terciptalah KEMBARA PELANGI MENUJU JANJI. Karya sentuhan Norma Abbas boleh dihayati Galeri Seni Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma sehingga 18 April 2017. Tahniah Puan Sri Norma Abbas.


Naque Ariffin,
Warung Tugu Negara,
Kuala Lumpur.
21/2/2017.

1 comment:

  1. Gambar1 - cinta itu buta amatlah tidak sesuai tp jika dilencongkan kpd nafsu boleh membutakan mata atau tutupi mata makan yg haram di halalkan . Tetapi bila dipositifkan gambar 1 ia boleh sj jadi tunduk tutuplah pandangan matamu pada yg memesongkan. -kak farah comel-

    ReplyDelete