Tuesday, February 7, 2017

MAHASISWA SEBAGAI "AGENTS OF CHANGE" ADALAH MITOS.


**Bacalah dengan nada sinis yang paling agung (termasuk tajuk di atas) dan anda akan temui titik inzal (kepuasan tidak terkata) ketika saya menulis tulisan ini.**

Entah mengapa, setiap kali pulang ke Malaysia pasti saya akan ambil tahu tentang isu-isu politik atau masalah negara yang saya terlepas pandang. Kali ini yang bermain di fikiran saya adalah isu mahasiswa Universiti Malaya yang ditahan dan dibicara/diambil tindakan kerana melanggar peraturan atau akta Universiti.

Tulisan ini bukanlah bermaksud untuk menentang sistem dan undang-undang yang telah termaktub walaupun ianya boleh ditukar secara drastik - tidak seperti nasib yang sudah tertulis di 'lauh mahfuz'. Maknanya masih boleh ditukar. Tetapi tulisan ini lebih kepada cadangan dan mencari solusi untuk menemukan benang merah ataupun titik tengah. Wahai pihak yang berkenaan, jangan takut dengan kuasa Mahasiswa. Jangan. Jangan . Jangan! Kerana mutahir ini mahasiswa kita bukan seperti mahasiwa zaman dulu yang perlu ditakuti. Para mahasiswa generasi kini, mereka lebih senang dan bangga jadi juru tepuk tangan di acara-acara TV (pergi ber bus-bus atas undangan stesen tv) atau duduk di pusat membeli belah atau di kedai kopi hipster ditemani komputer riba jenama buah dan mereka mahu jauh dari kesulitan hidup rakyat marhain tambahan pula mereka diberi PTPTN. Di sana (tempat yang saya senaraikan diatas), mereka dapat berbicara tentang artis idola, filem pecah panggung serta trend atau pakaian terbaru artis korea, dan marah apabila setiap kali ada demo yang membuatkan jalan-jalan di sekitar lembah klang di tutup kerana tuntutan rakyat 'dewasa' yang mahukan perubahan. Jadi jangan takut memberikan mereka kebebasan berpolitik. Jangan wahai tuan yang berhormat.

Jika kita bercakap mengenai cikgu yang berpolitik di sekolah rendah ataupun menengah, ianya masih relevan dan masuk akal kerana usia mereka masih tidak layak untuk mendaftar sebagai pengundi, tetapi jika akta Universiti sendiri meletakkan akta dan syarat sebegitu, apakah selepas ini syarat untuk daftar sebagai pengundi ialah berumur 25 (pukul rata usia tamat diploma/ijazah) kerana masih menggunakan alasan mereka tidak matang dalam politik. Saya cuba memandang hal ini secara positif. Jika dibenarkan mahasiwa berpolitik, hal ini merupakan satu bentuk pendedahan kepada kematangan dalam berpolitik dalam diri mahasiswa itu sendiri disamping membina idealisme mahasiswa untuk menekankan jatidiri dan komitmen mereka kepada masa depan negara.

Selain dari itu, ianya akan memberikan lebih ruang demokrasi kepada golongan mahasiswa di Malaysia. Kebenaran mahasiswa untuk berpolitik adalah satu polisi yang matang dan ia akan menyuburkan lagi semangat demokrasi di Malaysia. Bukankah Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi? Jika telinga saya tidak pekak dan mata saya tidak buta, itulah yang saya dengar dan lihat setiap kali melihat ibu dan ayah saya ketika berkempen untuk Parlimen Rasah 20 tahun yang lalu. Wakil rakyat akan melaungkan perkataan keramat itu. D.E.M.O.K.R.A.S.I.
Atau Negara kita sudah menghapuskan sistem demokrasi selepas pemimpin bertukar tangan? Maafkan atas ketidak sedaran saya itu. Mari kita teruskan.

Jangan takut wahai Universiti-universiti yang bertapak di Malaysia. Ayuh lihat sejarah. Jika anda tidak mahu contoh Dato Sri Anuar Ibrahim (kerana beliau berdiri di barisan pembangkang walau pernah duduk di bahagian kerajaan pusat), saya senaraikan mereka-mereka yang mempersetujui dana-dana buat Universiti anda untuk setiap kali pembentangan bajet Negara. Ini lah dia barisan nya: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan beberapa pemimpin lain semuanya bermula sebagai pemimpin pelajar yang condong kepada pembangkang. Tetapi hari ini mereka juga lah yang menjadi orang penting terhadap pembanggunan Negara. Tidakkah anda berbangga kelak ada dari Alumni Universiti anda berada dalam barisan kabinet Negara kita?

Mungkin kebimbangan yang amat sangat kerana anda semua melihat sejarah Indonesia dimana Presiden Suharto yang di gulingkan oleh Mahasiswa selepas menjadi pemimpin selama 32 tahun. Jangan risau. Tolong jangan risau. 32 tahun Presiden Suharto memimpin Negara Indonesia tidak banyak perubah dari segi ekonomi mahupun pembanggunan negara. Pemimpin kita paling lama pun 22 tahun iaitu Tun Mahathir Mohammad. Apa? Tak kenal? Biar betul?Macam ni, pada tahun Presiden Suharto digulingkan 1998, walaupun Malaysia dirundung kejatuhan ekonomi dan ramai ckp kita sombong tak mahu pinjam IMF, pak cik ni selamba je bawa Malaysia ikut rentak dia dan ternyata tidak ada masalah kronik pada ekonomi dan pembanggunan negara kita malah semakin maju ketika itu. Beliau sendiri pun tidak perlu di gulingkan, kerana beliau menjadi pemimpin sebelum lapar, dan berhenti sebelum kenyang. Dan sekarang nampaknya ada orang membuatkan dia 'lapar' semula selepas 'lauk pauk' yang dia jaga dan beli untuk anak, cucu dan cicit -habis 'dibedal' oleh 'penyamun'.
Sebab tu saya ckp, jangan risau. Mitos mahasiswa sebagai 'agent of change' dah tak boleh di guna pakai. Tenang. Pasti tidak ada pemimpin yang akan memerintah dalam masa yang 32 tahun seperti Presiden Suharto. Jadi tenang, gerakan mahasiswa tidak akan berjaya menggulingkan Pemimpin. Jadi, sudah tiba masanya syarat dan akta 'Pelajar Dilarang terlibat dalam Politik" di setiap buku-buku peraturan Universiti dihapuskan. Jangan takut. Tolong jangan takut. Dana untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) setiap tahun meningkat. Jadi universiti anda pasti akan menerima dana itu. Atau saya tidak tahu yang dana dari Kerajaan hanya akan diberikan kepada Universiti yang hanya ada akta "pelajar tidak dibenarkan terlibat dalam politik'' dalam buku tata tertib dan hal ehwal pelajar mereka. Oh tuhan, maafkan sekali lagi keterlepasan pandang saya jika itu adalah syarat wajib untuk mendapatkan dana dari KPT.

Sebanarnya satu sahaja cadangan saya: sudah tiba masanya Mahasiswa didedahkan kepada makna/maksud 'demokrasi' sebenar dan berpeluang merasai medan politik sebenar yang bukan hanya mengundi mencari calon Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP).

Sekian,
Naque Ariffin,
Bekas Johan Bahas Ala Parlimen (Piala Menteri Besar) Daerah Seremban (1) 2006 dan 2007.

Fakta: Tahun 2008 saya kalah dengan Kolej Tunku Kursyiah iaitu bekas sekolah Datin Sri Rosmah Mansur. Sekolah ni lagi kuat pusing dari saya. haha.Selamat Pagi Semua.

p/s: "sahaja saya gunakan sedikit perkataan-perkataan arab supaya kalian tahu ramai pemimpin sekarang turut menggunakan nya" - Hitelor

No comments:

Post a Comment