Sunday, August 14, 2016

Review 9- Teater Muzikal Mencari Sumaiyah (Kreatif vs Artistik)



Saya merasakan Dato Hans akan lebih selamat jika meletakan dirinya sebagai Pengarah Artistik daripada Pengarah Kreatif walaupun terma itu tidak wujud dalam seni persembahan teater, medium itu mungkin sesuai digunakan dalam sesebuah produksi filem. Ataupun saya terlepas pandang pembaharuan itu.Entah.

Kreatif menurut pusat rujukan dewan bahasa dan pustaka- adalah mempunyai kebolehan men­cipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli:  harus mengerah seluruh tenaga utk menghasilkan karya seni yg benar-benar bermutu tinggi. Jadi, mari kita teruskan.

Istilah Pengarah Artistik pula telah digunapakai secara global dan profesional, kerana istilah Pengarah Artistik ini juga telah menjadi rujukan pada peringkat akademik dan mana-mana institusi pengajian seni atau pertunjukan pentas seluruh dunia.

Bagi saya tidaklah sekreatif mana hasil beliau. Mari kita lihat contoh ini. Antara tugas seorang pengarah adalah memberi kesesuaian susun atur pelakon di atas pentas (blocking). Saya melihat (kebanyakan)  sebelum berakhirnya babak, pasti akan ada nyanyian yang blockingnya seperti :- puteri/wanita Umno yang sedang menyanyikan lagu "bersatu kita bersatu, dengan setia berganding bahu..." tegak, sambil berdiri memandang ke hadapan. -(atau blocking secara 'kreatif'  ini Hans dedikasikan kepada antara penaja persembahan ini (Puteri Umno Malaysia). Ya, tiada yang tidak mungkin.

Selain itu, keluar masuk pelakon kebanyakan nya sangatlah mengganggu imaginasi penonton. Ini jelas ketika babak di ofis. Atau beliau mengajak kita berfikir secara kretif dimana sebenarnya pintu masuk dan keluar di dalam ofis itu. Logik akal saya tidak mampu berfikir sekreatif dan sejauh itu.Tahiah bos.(sinis)

Ini bukanlah Persembahan Lawak Ke der atau Super Spontan wahai Dato yang budiman. Menghalalkan ad-lips yang berlebihan akan merosakan sesebuah artistic value sesebuah persembahan. Sudah-sudahlah memokkan Istana Budaya dengan wajah sonsang Zombi lalala, Mok Cun, Bahayanya Wanita dll.. Sayang, anda punya pelakon yang sangat-sangat bagus dan berbakat. Adakah membenarkan ad lips berlebihan itu menampak kan anda seorang yang kreatif?  Anda seharusnya menggarap unsur-unsur dramatik dan estetik dalam sesebuah persembahan.

"An Artistic Director responsible for programme structure and performance standards."- Francis Reid (1983).
Dapatkah anda bayangkan dimana standard kerja anda sekarang? Dalam sedar atau tidak, anda adalah produksi teater Muzikal yg pertama tahun ini mempercayai bakat pelakon anda dengan membiarkan mereka menyanyi secara live dengan iringai muzik secara live dan tarian yang menarik. Inilah muzikal ala Malaysia/Istana Budaya. Oh, sudah lama saya berahi mahu melihat teater "muzikal' di Istana budaya dipersembahkan secara Muzikal. Tahniah, ini sesuatu yang harus dibanggakan. Ini yang saya katakan di awal tadi, anda akan selamat jika menggunakan terma Pengarah Artistis daripada menggunakan Pengarah kreatif. Anda sudah punya structure persembahan yang menarik cuma perlu dihalusi sedikit.

Berbanding pula dengan maksud kreatif yg saya nyatakan diatas, adakah anda sudah berjaya men­cipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli serta menghasilkan persembahan yang bermutu? Tepuk dada tanya selera.
Tidak dinafikan, persembahan ini menghiburkan dan kombinasi antara Sherry, Nadia Aqila, Rozana Ibrahim dan Aisyah Hasna adalah ramuan yg berkesan memantapkan lgi persembahan ini. Tahniah buat seluruh ahli produksi.

oleh- Naque Ariffin, Sentul (2016)

p/s: harus di ingat.. term pengarah artistik versi istana budaya@malaysia berbeza ye dengan tugas sebenar seorang pengarah artistik di luar/barat. itu nnt saya akan kupaskan nnt.. happy weekend guys.

Wednesday, August 3, 2016

Review 8: Structural Plot- Konsep Kaitan dalam Teater Lela Manja.









Teater Lela Manja dibintangi barisan pelakon tekenal seperti Nabila Huda, Shahronizam Noor, Jay Iswazir, Mustaqim Mohamed, Sari Yanti dan ramai lagi. Teater ini adalah adaptasi dari filem 60-an bertajuk sama.

Teater Lela Manja merupakan produk sulung Creative Impact Solutions yang dipertemukan di Istana Budaya. Syabas buat produksi ini kerana berjaya menembus industri teater "berduit" itu dengan membawa satu persekitaran baru di kraton seni yang tersergam indah. 

Bagi penonton tegar teater di Istana Budaya yang sudah muak dengan hasil kerja sambil lewa dari produksi CTRA dan Rumah Karya Citra misalnya , satu pujian harus diberikan buat Creative Impact Solutions dan mereka-mereka yang terlibat.

Hal ini kerana, saya merasakan Produksi Teater Lela Manja dianggap produksi paling 'serius' yang dipentaskan di Istana Budaya tahun ini berdasarkan apa yang di pertontonkan kepada khalayak pada sesi kedua pementasan 29hb-31hb Julai 2016. 'Serius' disini adalah berkait rapat dengan persiapan sesebuah produksi. Dari segi Artistiknya (set, tatacahaya, kostum, prop, muzik dll) Teater Lela Manja adalah produksi paling rajin dan menghargai peluang yang ada untuk bertapak di "pentas bertaraf dunia" itu. Menghargai peluang bukanlah persoalanya kerana siapa yang punya duit, peluang mereka untuk mementaskan teater di Istana Budaya adalah cerah. Itu tidak dinafikan. Tetapi bagi produksi ini, kualiti produk amat di titikberatkan. Sebagai contoh, Latar tempat bagi setiap babak di dalam cerita ini amat jelas dan mengagumkan. Tidaklah seperti produksi sebelum ini, yang logo penaja tersusun panjang dan terpampang luas sebelum pementasan, tetapi apabila tirai dibuka hanya seketul batu besar diatas pentas yang besar itu tanpa menyatakan latar yang sebenar.

Memegang tema 'pembalasan dendam', ternyata pengarah dan pereka (busana,set,tatacahaya,musik) betul-betul bergerak atas landasan yang benar. Hal ini kerana pemilihan kostum contohnya bagi watak Ibu tiri kepada Lela dan Manja dipakaikan warna Merah melambang kan keganasan/kebencian misalnya. Selain itu pemilihan warna lampu pada babak-babak penting sangat menarik contohnya babak di dalam gua serta babak di kawasan perkuburan. Hal ini mungkin tampak kecil, tetapi meninggal kan impak yang besar.


Kita beralih pula kepada cerita mengenai Teater Lela Manja ini.


Saya berminat menyelami konsep kaitan di dalam Teater Lela Manja ini. Melalui kisah yang penuh kesamaran demi mencari kepastian dan ianya dikaitkan dengan isu politik memandangkan cerita ini mempunyai structural plot dimana konsep kaitan adalah apabila tema, plot dan watak mempunyai kaitan dengan sosiobudaya, politik dan agama. 

Saya ingin menyentuh kajian ini dengan memilih kaitan watak dengan politik semasa.

Kenapa saya memilih konsep kaitan di dalam Teater Lela Manja ini? Melalui kisah yang penuh ‘kesamaran’ demi mencari kepastian dan ianya dikaitkan dengan isu politik. Sabar, ini adalah 'hint' awal. Teruskan membaca.

Menyelami kisah pembalasan dendam ini, ia seakan berada di medan politik, dimana asasnya adalah 'hukum membunuh dan dibunuh’. Begitu juga di dalam Teater Lela Manja. Watak-watak yang ditonjolkan seakan membawa kaitan dengan isu politik Malaysia ketika ini. Ia dapat dilihat dari aspek watak dan perwatakan. Watak Raja yang memegang teguh pada keadilan bertindak menghukum Megat (bapa kepada Komeng) atas kesalahan yang dilakukan untuk keadilan. Watak Raja ini saya kaitkan denga melambangkan Perdana Menteri ke-2 iaitu Tun Razak yang telah melaksanakan dasar-dasar yang penuh keadilan dan menyamaratakan dimana orang melayu di kampung, orang cina di kampung baru dan orang india di estet. Mankala Raja Muda (anak Raja) yang lari dari masaalah tanpa mahu menghadapi masalah hanya kerana seorang wanita (Watak Lela) tidak mahu berpisah atas dasar kasih kononnya. Disebabkan itu, nyawa rakyat banyak yang terkorban kerana beliau tidak melawan atau menyerah diri.

Raja muda ini dikaitan dengan Perdana Menteri kita sekarang iaitu Dato Seri Najib anak kepada Tun Razak yang tidak pernah menjawab malah lari persoalan-persoalan tentang isu 1MDB (ini lah yang saya sebutkan kesamaran pada perenggan sebelum ini) dan beliau setia diapit oleh Datin Seri Rosmah (walau dimana pun beliau berada, sama seperti watak Lela yang tidak mahu berenggang). Dan akhirnya rakyat tetap rakyat yang tidak punya watak. Rakyat dalam Teater Lela Manja dibunuh kerana kebaculan Raja Muda yang lari, tetapi rakyat Malaysia dibunuh dengan kos sara hidup yang makin meningkat tambahan pula GST yang telah terlaksana. Menarik bukan apabila konsep kaitan dalam teater ini benar-benar berkait dengan Alam realiti? Sekejap, harus di ingat, Raja Muda tidak lari berseorangan kerana bersama dengannya adalah Bendahara dan Temenggong yang sentiasa menyokong dan mengangguk setiap cadangan serta keputusan Raja Muda walaupun negaranya tergadai kepada Komeng dan kuncu-kuncunya. Nah, Sekarang saya memberi anda peluang, Menteri kita mana yang anda mahu pilih untuk dikaitkan dengan watak Bendahara dan Temenggung? Saya yakin terlalu ramai senarai yang berada dalam minda anda bukan? dan salah satu ya adalah Menteri Wilayah Persekutuan kan?

Teater Lela Manja ini tidak hanya berkaitan dengan situasi politik. Ia sebuah teater yang hebat dari aspek visualnya dan pujian harus diberikan kepada pengarah serta tenaga kreatif yang berjaya membuatkan teater ini begitu autentik kerana membawa penonton merasai erti penceritaan sebenar dan bukan sekadar skrip improvisasi dari pelakon atau pelawak. Lakonan pelakon-pelakonnya bukan sahaja hebat. Syabas buat seluruh produksi Teater Lela Manja.


oleh- Naque Ariffin, Sentul East (2016).

P/s: Mok Cun nak masuk Istana Budaya semula. Bila pula Mak Lampir ke, Cik Kiah ke nak masuk IB? Tak pun pindah je Astro Warna tu bukak office kt IB.😂

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ini merupakan catatan saya setelah persembahan tamat dan sebelum penulisan di atas ini di tulis. Anda boleh memilih untuk membacanya atau tidak.


(Amaran! Baca dengan hati yang tenang)

Ini Mukadimah. Nanti saya akan Review tentang Persembahan Teater Lela Manja..

Terima Kasih Mustaqim Mohammed ( Maximus Al Muez ) kerana mensucikan kejahilan pihak Istana Budaya dengan lakonan anda . Anda membuktikan bahawa sebenarnya masih wujud penggiat-penggiat teater yang mampu membawakan watak besar di panggung gah itu dan bukan sekadar Ensemble yang memenuhkan pentas.. Oh ya sedikit info, Mustakim memegang watak Raja Muda (muka Hafiz Rosdy dalam poster).

Tidak salah untuk mengambil pelakon-pelakon komersial untuk memenuhkan panggung, tetapi biarlah kena dengan kehendak watak. Putting TV star in plays just to get people in is wrong. You have to have the right people in the right parts. Tidak dinafikan lakonan pelakon teater Lela Manja pada malam ini cukup memuaskan. Kudus untuk Nabila Huda, Shahro Nizam, Jay Iswazir dan Sari Yanti..

Tetapi cadangan saya pihak Istana Budaya sendiri "mencipta" pelakon mereka sindiri dengan kata mudahnya adalah :- wujudkan Pelakon teater Istana Budaya sendiri dan buat industri tv/film pula yg mencari pelakon teater ini untuk produksi mereka seperti yang terjadi di Broadway misalnya. Nak cerita siapa panjang nnt, pergi lah kaji sendiri pelakon Hollywood yg bagus-bagus tu datangnya dari mana..dah pergi google cepat.

Sebenarnya, pihak Istana budaya sendiri telah berkali-kali meludah kelangit lalu jatuh ke muka sendiri.. Sebagai contoh: Teater Dibawah Lindungan Ka'ba (watak Hamid dewasa), Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (watak Zainuddin dan Muluk), Teater Ombak Rindu (Watak Haris, Roland dan Izah)..Pemilihan pelakon untuk watak-watak ini sangatlah menjengkelkan..mungkin ianya adalah kehendak dari pihak produksi (producer) itu sendiri kerana moto beliau sama seperti PM kita sekarang "cash is king", tetapi apakah tidak ada pemantauan dari pihak Istana Budaya sendiri terhadap pemilihan pelakon ketika sesi uji bakat? atau apakah uji bakat itu sekadar bersandarkan followers di instagram serta muka yang terpampang di slot Akasia??. Saya masih bertanya, apakah KPI pegawai-pegawai mereka diukur dgn kehadiran penonton yang melimpah ruah berbanding kualiti persembahan (lakonan) itu sendiri?

Bagi orang yang tidak obses sesama manusia seperti saya, saya berfikir :- buat apa aku datang tengok teater ni kalau muka tu aku boleh nampak kat tv hari-hari dengan lakonan yang sama"..Boss, you have to lure people by getting them excited bout a theatre experience..

baiklah, write-up mengenai Teater Lela manja ini aku akan buat esok.Salam,mohon maaf jika tidak bersetuju..jika setuju bawa2 lah share untuk kemajuan teater di Malaysia.Cewahhh